Monday, February 18, 2013

Adat Masyarakat Kaum Melanau Sarawak

MELANAU Masyarakat Melanau merupakan masyarakat etnik di Sarawak. Masyarakat Melanau mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu baik dari segi kepercayaan, kebudayaan dan adat resam.Namun begitu masyarakat Melanau tetap mempunyai budaya dan adat resam mereka yang tersendiri. Adat resam ini jelas terlihat dalam aspek kehidupan mereka seperti kelahiran, perkahwinan dan juga kematian. Adat resam atau amalan ini diwarisi sejak zaman berzaman dan masih diteruskan hingga ke hari ini. KELAHIRAN Sewaktu Mengandung Ibu yang mengandung terikat daripada mengamalkan pantang larang. Kebanyakan larangan yang dikenakan banyak bergantung kepada faktor pemakanan seperti tidak boleh memakan buah-buahan yang berbau kuat seperti durian kerana badan akan menjadi busuk. Wanita hamil tersebut juga tidak boleh makan pucuk-pucuk paku kerana susu badan akan menjadi masam. Haiwan buruan yang dibunuh di dalam hutan tidak boleh diberikan kepada wanita hamil kerana diyakini anak dalam kandungan akan melecur seluruh badan. Si suami juga dikehendaki menjauhi beberapa perkara. Si suami tidak boleh memotong kayu yang bertindan atau memakan ikan pari kerana dikhuatiri bibir anak akan menjadi sumbing. Si suami juga tidak boleh mengecat kerana dikhuatiri anak di dalam kandungan akan diiringi minyak. Sekiranya terdapat sebarang kematian, si suami tidak boleh melihat kerana anak di dalam kandungan akan mendapat penyakit. Suami juga tidak boleh memotong akar temalet kerana anak akan meninggal dunia tanpa sebab. Semasa mengandung juga wanita tersebut tidak boleh ditakut-takutkan kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak dalam kandungan cacat ataupun gugur. PERKHAWINAN Aspek pangkat dititikberatkan dalam institusi perkahwinan berbanding dengan institusi yang lain. Masyarakat Melanau juga begitu mementingkan status sosial mereka iaitu sembilan pikul, tujuh pikul, tujuh betirih dan lima betirih. Jenis barangan dan hadiah yang perlu dibawa untuk tanda bertunang dan barang yang mengiringi mas kahwin seperti adat menuga, adat mebin dan pakan juga dikira berdasarkan status sosial ini. Namun begitu, asas adat perkahwinan adalah sama seperti masyarakat lain iaitu merisik, meminang dan majlis perkahwinan. Majlis Perkahwinan Majlis perkahwinan diadakan secara besar-besaran kecuali perkahwinan jenis 'peramas' iaitu per-kahwinan kerana ditangkap basah. Persiapan untuk majlis ini berlangsung beberapa hari lebih awal. Bakal pengantin lelaki dikehendaki menyerahkan hadiah mas kahwin iaitu 'penyekab' dan 'berian' dan hadiah lain seperti 'adat menuga', 'adat mebin' dan 'pakan' sehari sebelum majlis itu diadakan. Penyerahan ini disusul dengan acara pernikahan. Pernikahan boleh juga di-adakan pada pagi keesokannya iaitu pada hari diadakan majlis perkahwinan. Kenduri perkahwinan diadakan di rumah kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang dihadiri oleh sanak saudara, jiran dan sahabat handai.Kemuncak acara majlis ialah persandingan yang biasanya diadakan pada tengah hari. Selesai bersanding di rumah pengantin lelaki, diada-kan pula persandingan di rumah pengantin perempuan untuk menjalani 'adat petudui' iaitu penyerahan pelbagai barang, antaranya termasuklah sebentuk cincin emas dan seutas gelang perak oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Semasa menjalani adat ini, kedua-dua pengantin dikenakan pelbagai pantang larang, misal-nya tidak boleh mandi di sungai dan tidak boleh tidur pada waktu siang.Pada sebelah malam, di rumah pengantin perempuan diadakan pula upacara makan nasi temuan. ADAT RUMAH TANGGA Oleh kerana perkahwinan merupakan satu institusi yang penting, terdapat beberapa peraturan dalam kehidupan mereka yang perlu diikuti oleh kedua-dua pasangan pengantin sama ada lelaki atau perempuan. Antara peraturan yang perlu diikuti oleh mereka ialah: Setelah menjadi pasangan suami isteri, suami tidak boleh menetak bumbung rumah dengan parang kerana cara ini boleh menyebabkan hubungan renggang antara suami dan isteri. Suami tidak boleh memerah kelapa yang sudah diparut kerana boleh menyebabkan perut isteri sakit atau memulas. Pakaian yang dipakai semasa upacara perkahwinan tidak boleh dijahit walaupun koyak kerana boleh menyebabkan penyakit di kalangan suami isteri. Isteri dilarang keras memarut rumbia atau menyeberangi sungai kerana akan jatuh sakit sehingga boleh menyebabkan anak di dalam kandungan keguguran.

No comments:

Post a Comment